Assalamualaikum
Kini di Selangor sahaja ada lebih kurang 400 buah masjid dan seribu lebih buah surau malah bilangan ini semakin bertambah ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan. Fenomena ini menunjukkan reaksi positif dalam kalangan masyarakat kita bahawa betapa pentingnya institusi masjid/surau ini. Rumah Allah ini juga banyak nostalgianya kepada kita. Disinilah suatu ketika dahulu tempat kita mengenal al-quran, solat dan mungkin juga tempat sesetengah daripada kita berkhatan dan pelbagai lagi aktiviti lain yang mungkin di jalankan di rumah Allah ini.
Malangnya walaupun rumah Allah kini semakin banyak di dirikan namun tidak semua institusi masjid/surau ini betul-betul 'hidup' dalam masyarakat kita. Adakalanya rumah Allah ini hanya dihuni oleh tok imam, tok bilal dan tok siak sahaja. Dan adakalanya penuh meriah dengan kaum muslimin dan muslimat. Inilah yang dikatakan rumah Allah bermusim. Musimnya cuma ada 2 yakni musim 'luruh' iaitu tika ia sunyi hinggakan bunyi cenggerik pun bisa di dengari dan musim 'bunga' , ketika ia dipenuhi dengan umat Islam dek kerana berlakunya sesuatu peristiwa. Yang pasti kedua-dua musim ini kita yang tentukan. Semuanya terpulang kepada kita untuk berlakunya musim 'bunga' mahupun musim 'luruh' ini. Tepuk dada tanyalah iman, adakah kita antara orang yang mengimarahkan rumah Allah? Beruntunglah anak muda yang hatinya bertaut pada masjid/surau.
Tatkala bulan Ramadhan membuka tirainya, memang tidak dapat dinafikan rumah-rumah Allah pasti penuh dengan umat Islam yang berebut-rebut menunaikan ibadah seperti mana yang kita sedia maklum ketika solat tarawikh pada awalnya pasti penuh hinggakan ruang solat hampir saja tidak mencukupi. Tidak cukup dengan itu, rumah Allah diserikan lagi dengan tadarus nya, dengan qiam nya, majlis berbuka, ceramah dan pelbagai lagi ibadah yang lain. Alangkah indahnya andai musim 'bunga' ini bisa kita kekalkan. Begitu juga ketika adanya peristiwa penting yang lain seperti solat Jumaat, aidilfitri dan yang paling popular dalam kalangan pelajar adalah ketika menjelang musim peperiksaan. Pasti saat itu institusi masjid dan surau menjadi tempat wajib yang perlu disinggahi. Namun bunga yang kembang mekar berseri-seri ini tidak berkekalan dan layunya begitu cepat bilamana peristiwa penting itu berlalu dimamah arus masa.
Ketika kecik-kecik dulu kita mendahului tok siak ke surau tapi sekarang bila azan berkumandang, kita hanya mampu lalu dipersimpangannya sahaja walaupun rumah Allah hanya seperlaung sahaja dari rumah kita. Tiada guna walaupun institusi masjid/surau ini semakin banyak kuantitinya namun penghuninya hanya beberapa kerat sahaja. Tiada guna walau masjid secantik mana sekalipun tetapi penghuninya lebih sedikit daripada tiang-tiang masjid itu. Tinggallah masjid itu berdiri dengah gah nya hanya kerana rekaannya, tidak dengan penghuninya.
Sebagai penutup kalam dan peringatan kepada diri sendiri juga, sama-samalah kita mengimarahkan institusi masjid/surau ini agar ia sentiasa 'hidup' dalam kehidupan seharian kita. Jika hari ini kita bisa melihat kedai 24jam seperti 7 eleven dan lain-lain lagi maka tidak mustahil suatu hari nanti dengan usaha yang kita lakukan, akan menjadi kebiasaan untuk melihat institusi masjid dan surau 24 jam sepertimana Masjidil Haram dan masjid-masjid hebat yang lain yang juga tidak pernah putus dengan kehadiran umat Islam dan amal ibadat yang sentiasa berputar mengikut peredaran masa. Hal ini juga merupakan usaha kita dalam kebangkitan Islam seperti mana yang kita semua sedia maklum bahawa umat Islam tidak akan menang ke atas yahudi selagi bilangan mereka yang solat subuh berjemaah di masjid tidak seramai mereka yang datang untuk solat jumaat. Sekian~
0 comments:
Post a Comment